Assalammualaikum kepada para pembaca yang setia. Artikel kali ini menyentuh sejarah wujudnya Raya Haji atau Aidiladha. Pada umumnya, mungkin ramai sudah tahu kenapa kita menyambut hari yang istimewa ini. Namun mungkin ada juga yang masih kurang jelas, jadi sama-samalah kita berkongsi sejarah Raya Haji agar semua umat Islam dapat memahami kenapa sambutannya sangat penting.
Ibadah korban ini adalah untuk memperingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s diperintahkan Allah S.W.T untuk mengorbankan anak sulung-nya, Nabi Ismail a.s yang sekaligus menguji kesabarannya sebagai Hamba-Nya.
Peristiwa telah dinyatakan di dalam Surah As-Saffat (Ayat 100-108), marilah kita menghayati apa yang telah di-Firman Allah SWT:
"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari anak yang Soleh!"
"Lalu Kami sampaikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar."
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Ibrahim berkata, "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku, akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab, "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya'Allah, ayah akan mendapati aku daripada orang yang sabar."
"Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan (Nabi) Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya,
"Lalu kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!"
"Engkau telah membenarkan mimpi itu." Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berbuat baik."
"Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;"
"Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;"
"Dan kami abadikan baginya (nama yang dikenang) di kalangan orang yang datang kemudian;"
Peristiwa ini jelas menyatakan kepada mereka yang mengikuti perintah Allah SWT, pasti ada ganjaran baik untuk mereka. Setelah Nabi Ibrahim mengangkat pedangnya dengan kalimah Allah untuk memancung leher Nabi Ismail, maka darah terpeciklah ke tubuh badan Nabi Ismail. Apabila Nabi Ibrahim membuka matanya, alangkah terkejut yang disembelih adalah seekor Kibas, bukan Nabi Ismail (
sumber artikel di sini).
Demikianlah pada setiap tahun, umat Islam akan melakukan ibadah korban dengan menggagih-agihkan daging korban kepada mereka yang kurang bernasib baik daripada peristiwa tersebut. Seeloknya pada Hari Raya Aidiladha, kita hendaklah mengenakan pakaian yang kemas dan wangi untuk melaksanakan solat sunat sebanyak 2 rakaat, kemudian melakukan ibadah korban (menyembelih binatang korban; lembu, kambing dan biri-biri).
Semoga pada tahun ini, kita dapat menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh rasa syukur pada 10 Zulhijjah 1443 (10 Julai 2022) akan datang. Kepada Jemaah Haji yang sedang melaksanakan rukun kelima Islam, semoga mereka mendapat Haji yang mabrur.
Ulasan
Catat Ulasan